Skip to main content

Kuala Muda

Nama daerah Kuala Muda diambil bersempena dengan nama sebatang sungai yang terletak di kawasan Sungai Muda. Daerah Kuala Muda ini, sangat terkenal pada zaman dahulu sebagai kota pertahanan melayu yang paling tua dan kuat. Ia pernah dijadikan sebagai pusat pentadbiran Kesultanan Kedah. Pada tahun 1619, Sultan Acheh telah menghantar angkatan tentera perangnya untuk menewaskan kota pertahanan ini dan seterusnya menawan negeri Kedah. Kemudian, pada tahun 1821 pula, kota ini telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Siam. Oleh disebabkan itu, pada tahun 1978, kota ini telah diwartakan sebagai Kota Bersejarah Muzium Negara kerana terletaknya pusat tamadun terawal yang bertapak di Malaysia.

Makanan Warisan

  • Masak Lemak Kuning Siput Pait

  • Gulai Ikan Sembilang 

Masak Lemak Kuning Siput Pait

Siput Pait merupakan sejenis siput yang berada di tebing sungai. Ianya juga dipanggil sebagai siput bendang ataupun siput sawah bagi siput yang hidup di dalam sawah padi. Jika di dalam sawah padi, siput ini akan melekat pada batang pokok padi ataupun ranting kayu. Manakala, siput pait yang banyak terdapat di dalam sungai akan melekat pada pelepah kelapa atau dahan kayu yang berada di gigi air berhampiran dengan tebing sungai. Siput pait berbentuk lebih bulat dan berwarna agak kehitaman. Rasa siput ini agak sedikit pahit jika dibandingkan dengan siput bendang. Selalunya, siput pait ini akan dibersihkan dengan cara diramas bersama dengan daun serai agar ia lebih bersih untuk dimakan. Kemudian bahagian punggungnya akan dipotong sama seperti memotong bahagian punggung siput sedut. Cara untuk memakannya juga agak sedikit berbeza, kerana ia perlu disedut dengan lebih kuat dengan hanya sekali sedutan kerana isinya agak sukar untuk keluar dari cangkerangnya.

Gulai Ikan Sembilang

Gulai Ikan Sembilang atau Ikan Sebilang amat terkenal di daerah Kuala Muda yang terletak berhampiran dengan laut. Ia merupakan kawasan yang sangat terkenal dengan hasil lautnya yang segar serta makanan lautnya yang sedap. Gulai Ikan Sembilang ini sangat terkenal kerana keenakkan rasa gulainya yang menggunakan rempah kari yang asli, terutama sekali jika ianya rempah yang dimasak sendiri. Jika di negeri lain, menu ini dinamakan sebagai Kari Ikan Sembilang. Tetapi di negeri Kedah, ia dipanggil sebagai gulai walaupun resipi dan cara penyediaannya sama seperti memasak kari. Bukan itu sahaja, menyiang ikan sembilang ini juga memerlukan teknik yang betul agar ikan itu tidak berbau hanyir. Rahsia untuk menyiang ikan ini adalah dengan memicit hidung ikan tersebut bagi mengeluarkan lendir dari dalam. Kemudian ikan ini akan dibersihkan dan dibasuh dengan air asam jawa agar bau ikan tersebut tidak hanyir. Rasa isi ikan sembilang adalah manis dan berjus sama seperti rasa isi ikan keli tetapi ianya tidak berlemak dan berminyak. Gulai ini juga lebih enak dan sedap jika dimasak menggunakan periuk belanga yang diperbuat daripada tanah liat kerana ia dapat mengekalkan suhu panas gulai itu serta tahan lebih lama.

Resipi

Masak Lemak Kuning Siput Pait

Bahan Bahan

  • 1 kg siput pait dipotong muncung bawahnya
  • 300 gm santan pekat
  • 500 ml air
  • 30 gm cili padi
  • 30 gm cili cili kering
  • 3 labu bawang besar - dikisar
  • 3 batang serai - diketuk
  • 7 tangkai cili besar - dikisar
  • 25 gm kunyit hidup - dikisar
  • 3 keping asam keping
  • 2 helai daun kunyit
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa

Cara Memasak

  1. Siput pait dicuci dan diramas bersama dengan daun serai. Selain daun serai, siput juga boleh dicuci dengan menggunakan hampas kelapa bagi membersihkan segala kekotoran di dalam siput pait.
  2. Kemudian, panaskan periuk dan masukkan bahan-bahan yang telah dikisar bersama dengan air sehingga naik bau.
  3. Kemudian masukkan siput dan kacau selama 3 minit.
  4. Kemudian, masukkan serai, cili kering, asam keping, santan, dan daun kunyit. Kacau sehingga kuahnya mendidih.
  5. Akhir sekali, perasakan dengan garam dan gula sehingga secukup rasa.
  6. Masak lemak cili api siput pait sedia untuk dihidangkan.

Resipi

Gulai Ikan Sembilang

Bahan Bahan

  • 1 kg Ikan Sembilang
  • 50 gm rempah kari ikan
  • 3 sudu besar cili kering - dikisar
  • 5 biji bawang merah – dimayang halus
  • 3 ulas bawang putih – dihiris nipis
  • 1 inci halia – dimayang halus
  • 2 biji cili hijau dan merah
  • 4 biji cili padi
  • 100 ml santan pekat
  • 1 liter air
  • 1 sudu besar halba campur
  • 3 tangkai daun kari
  • 2 tangkai daun kesom
  • ½ cawan air asam jawa
  • 2 batang timun
  • ½ cawan
  • Garam secukup rasa

Cara Memasak

  1. Cuci ikan sembilang dengan air perahan asam jawa sehingga hilang bau hanyirnya. Kemudian, bersihkan ikan dengan air bersih dan potong mengikut saiz kesukaan.
  2. Panaskan minyak di dalam periuk tanah liat dan tumis bahan-bahan yang dimayang halus seperti bawang merah, bawang putih, dan halia.
  3. Kemudian, masukkan halba campur bersama dengan daun kari. Tumis sehingga bahan-bahan tadi menjadi keperangan.
  4. Selepas itu, masukkan rempah kari yang telah dicampurkan dengan sedikit air dan juga cili kering yang dikisar.
  5. Masak sehingga rempah menjadi garing dan naik baunya.
  6. Kemudian, masukkan perahan air asam jawa ke dalam periuk diikuti dengan santan dan air yang secukupnya.
  7. Akhir sekali, masukkan daun kesum, cili merah dan hijau, cili padi serta timun batang ke dalam periuk.
  8. Kemudian. kecilkan api dan masak seketika sehingga terbit minyak. Perasakan dengan garam dan gula.
  9. Gulai ikan sembilang sedia untuk dihidangkan.