Skip to main content

Kulim

Daerah Kulim diambil bersempena dengan nama pokok kulim atau nama saintifiknya Scorocarpus Borneensis yang tumbuh merata di sekitar kawasan ini. Daerah Kulim dipercayai dibuka dan didiami semenjak pertengahan abad ke-18 dengan lebih dari 100 orang jumlah penduduk yang berasal dari keturunan Melayu Pattani. Menjelang pertengahan abad ke-19, Kulim telah menjadi tumpuan pelombong Cina kerana penemuan hasil bijih timah. Terdapat satu kejadian, di mana tercetusnya peristiwa besar di Kulim iaitu pada tahun 1888. Ianya terjadi, apabila taukeh lombong bijih timah di sekitar Kulim bergaduh sesama sendiri kerana merebutkan seorang wanita berbangsa Cina yang sangat cantik. Pada ketika itu, wanita tersebut telah pun menjadi perempuan simpanan kepada salah seorang taukeh lombong itu juga. Disebabkan oleh peristiwa pergaduhan besar tersebut, nama daerah Kulim telah terpahat di dalam sejarah sebagai “Perang Nyonya Cantik” atau “Perang Kulim”.

Makanan Warisan

  • Kuih Halwa Maskat Utara

  • Kuih Qasidah

Kuih Halwa Maskat Utara

Halwa Maskat merupakan hidangan manis atau kuih raya tradisi yang dihidangkan semasa musim perayaan pada zaman dahulu. Kuih ini dipercayai dibawa oleh pedagang dari negara Arab yang berdagang di bahagian utara terutama sekali di Pulau Pinang dan turut diperkenalkan di negeri Kedah. Menurut cerita orang lama, perkataan maskat itu sendiri berasal dari Muscat, iaitu ibu negara Oman. Halwa Maskat dijadikan makanan istimewa pada musim-musim tertentu oleh kerana cara penghasilannya yang rumit. Halwa maskat memerlukan kesungguhan dan kesabaran yang tinggi untuk membuatnya, kerana ia bergantung kepada sukatan bahan yang betul dan proses mengacau adunan secara berterusan dalam tempoh jangka masa yang panjang. Adunannya juga perlu diperam selama 3 hari 3 malam menggunakan teknik ‘basuh tepung’, sebelum diadun bersama dengan ramuan lain dan dimasak dengan api yang perlahan selama 5 jam. Maksud teknik ‘basuh tepung’ itu sendiri adalah merujuk kepada mencuci tepung dengan air bersih bagi membuang getah atau gluten yang terdapat di dalam tepung sehingga menjadi bersih dan jernih. Hanya dengan teknik tersebut, halwa maskat yang berkualiti dan terbaik dapat dihasilkan. Halwa maskat yang enak serta asli akan berwarna emas kekuning-kuningan. Hidangan ini dikatakan semakin kurang dihasilkan dan diminati oleh generasi muda kerana hanya mereka yang betul-betul mahir sahaja dapat menghasilkan halwa maskat yang sedap dan lazat.

Kuih Qasidah

Kuih Qasidah ataupun kuih hasidah adalah salah satu kuih tradisional yang terdapat di negeri Kedah. Menurut cerita orang-orang lama, kuih qasidah ini berasal dari negara Arab dan diperkenalkan oleh orang-orang yang berketurunan Arab yang datang berhijrah dan menetap di sini. Kuih qasidah juga terkenal di negeri Terengganu tetapi kuihnya berwarna kuning, manakala kuih qasidah dari negeri Kedah berwarna putih kejernihan. Kuih ini agak klasik kerana ia mempunyai rasa berlemak serta manis dan enak untuk dimakan ketika di bulan Ramadhan. Ianya juga menjadi pilihan generasi pada zaman dahulu untuk dijadikan juadah berbuka puasa oleh kerana rasanya yang sedap. Namun begitu, ianya juga boleh dihidangkan semasa minum petang bersama dengan kopi atau teh panas. Kuih ini cukup mudah untuk disediakan namun, ia mestilah dimasak sehingga adunan menjadi kental dan berkilat. Kemudian, kuih yang telah siap dimasak akan ditaburkan dengan bawang goreng yang telah digoreng bersama dengan minyak sapi pada bahagian atasnya agar kuih tersebut lebih harum dan wangi baunya.

Resipi

Kuih Halwa Maskat

Bahan Bahan

  • 500 gm tepung gandum
  • 250 ml minyak masak
  • 500 ml air
  • 5 gm gula batu
  • 1 kg gula pasir
  • 1 ml pewarna kuning (warna kuning telur)
  • ½ sudu kecil batu nasila (boleh dibeli di kedai India)
  • 20 gm kacang tanah atau badam hiris

Cara Memasak

  1. Campurkan tepung gandum dengan air dan uli sehingga menjadi doh.
  2. Selepas itu, ambil satu bekas lain dan basuh doh tepung tersebut di dalam air bersih untuk membuang ‘getah tepung’atau gluten didalam tepung sehingga menjadi bersih.
  3. Sisa dari basuhan tepung itu perlu diperam selama 2 hari. Setiap 6 jam sekali, air peraman tepung tersebut perlu ditukar dan digantikan dengan air yang bersih.
  4. Selepas 2 hari, buang air di dalam bekas dan tinggalkan mendapan tepung sahaja.
  5. In a wok, add water, rock sugar. Coarse sugar and batu nasila until boiling vigorously and reducing the flame.
  6. Kemudian, masakkan gula pasir, gula batu dan batu nasila di atas dapur dengan api yang sederhana. Masak adunan di atas sehingga menjadi sebati.
  7. Kemudian, masukkan sedikit demi sedikit mendapan tepung ke dalam air gula yang telah dimasak tadi. Masak dengan api sederhana sehingga adunan menjadi agak kental dan likat. Kacau adunan selama 4 hingga ke 5 jam dan ia perlu sentiasa dikacau bagi mengelakkan dari menjadi hangus.
  8. Akhir sekali, masukkan kacang tanah atau badam yang sudah dihiris serta pewarna kuning ke dalam adunan. Kacau lagi adunan selama 1 atau 2 jam.
  9. Apabila adunan sudah tidak lagi melekat pada kuali, itu tandanya bahawa halwa maskat sudah pun masak dan sedia untuk dihidangkan.
  10. Masukkan halwa maskat yang telah dimasak tadi ke dalam bekas dan potong kecil-kecil untuk dihidangkan bersama dengan kopi ataupun teh panas.

Resipi

Kuih Qasidah

Bahan Bahan

  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 ½ cawan air
  • ¼ cawan gula
  • ½ sudu garam
  • 1 sudu air kapur
  • 1 cawan santan pekat
  • 2 helai daun pandan
  • 1 sudu besar minyak masak
  • 5 biji bawang merah
  • Garam secukup rasa

Cara Memasak

  1. Masukkan tepung, air, gula, garam and air kapur ke dalam periuk. Kacau adunan ini sehingga menjadi sebati.
  2. Masak adunan dengan api yang sederhana. Adunan perlulah sentiasa dikacau untuk mengelakkan ianya dari menjadi hangit.
  3. Kemudian, masukkan santan ke dalam adunan bersama dengan daun pandan.
  4. Kacau perlahan-lahan sehingga adunan menjadi pekat dan berkilat. Letakkan adunan yang sudah siap tadi ke dalam loyang kuih yang telah dioles dengan minyak masak.
  5. Di dalam periuk yang berlainan, masukkan hirisan bawang merah dan goreng sehingga warnanya bertukar menjadi keperang-perangan.
  6. Akhir sekali, letakkan bawang goreng tadi ke atas adunan kuih dan biarkan ia menjadi sejuk sebelum dihidangkan.