Sup Gamat adalah salah satu hidangan istimewa yang juga boleh didapati di Pulau Langkawi, Kedah. Gamat merupakan hidupan laut yang terkenal di kawasan laut di pulau ini. Gamat juga amat terkenal dari segi perubatan tradisional Melayu, oleh kerana kaya dengan khasiatnya yang tersendiri seperti bagus untuk luka-luka dalaman, dapat mengubati penyakit jantung dan juga sebagai minyak urutan. Namun, stok gamat dikatakan semakin sukar untuk didapati pada masa kini dan ianya lebih tertumpu kepada bidang komersial lain seperti pembuatan balm dan minyak urut. Oleh itu, ia kurang untuk dinikmati sebagai hidangan makanan. Gamat sedap jika dimasak sebagai sup dan ia akan membuatkan badan terasa panas apabila menghirup hidangan ini. Isi gamat juga lembut dan kenyal dan rasanya seakan-akan sotong. Lebih lama gamat direbus, lebih lembut akan teksturnya lagi. Gamat perlu direndam terlebih dahulu sehingga kembang dan dibuang isi dalamnya sebelum direbus selama 30 hingga ke 60 minit. Kemudian, isi gamat akan dipotong secara nipis dan halus agar senang untuk dikunyah sebelum dimasak bersama dengan rempah ratus dan bahan-bahan yang lain. Untuk menu ini, halba campur bersama dengan hirisan bawang merah, bawang putih dan halia akan digoreng secara tumis darat sebelum dimasukkan ke dalam rebusan gamat dan juga bahan-bahan lain.
Langkawi
Langkawi merupakan salah satu daerah kepulauan di dalam negeri Kedah. Pulau ini adalah pulau yang kaya dengan keindahan semula jadinya dan juga kisah lagenda pada masa silam. Oleh itu, ia telah menjadi salah satu daripada destinasi pelancongan yang paling popular untuk dilawati di Malaysia. Pulau-pulau di daerah ini mempunyai warisan mitos dan lagenda yang sangat menarik. Di antaranya adalah kisah gergasi dan burung garuda, pahlawan dan puteri kayangan, peperangan dan juga kisah cinta yang tersendiri. Namun, mitos yang sering dikaitkan dengan Langkawi sebagai Pulau Lagenda ialah Mahsuri, seorang wanita yang berdarah putih. Selain dari itu, Pulau Langkawi juga pernah menjadi di antara salah satu pelabuhan kerajaan kuno yang terhebat di negeri Kedah pada suatu masa dahulu.
Makanan Warisan
-
Sup Gamat
-
Kerabu Beronok
Sup Gamat
Kerabu Beronok
Kerabu Beronok adalah sejenis makanan istimewa yang diperbuat dari hasil hidupan laut yang hanya boleh dijumpai di Pulau Langkawi, Kedah. Tetapi ada juga yang mengatakan bahawa kerabu beronok amat popular di kawasan selatan Thailand. Beronok dikatakan sama seperti spesis gamat dan ia juga dikenali dengan nama kentang laut, lintah gergasi atau timun laut. Beronok mempunyai dua jenis, iaitu beronok pantai dan juga beronok yang hidup di dalam selut. Kerabu Beronok adalah makanan eksotik Pulau Langkawi dan pada suatu ketika dulu ia dihidangkan di majlis kenduri kendara serta keraian di Langkawi. Beronok ialah sejenis haiwan yang amat sensitif dan ianya tidak boleh terdedah kepada haba. Jika beronok terkena sahaja haba, ia akan lebur dan bertukar menjadi air masin. Beronok juga tidak mampu bertahan dalam tempoh yang lama selepas disediakan dan ianya perlu dimakan terus atau disimpan ke dalam peti sejuk selepas digaul bersama dengan bahan lain. Oleh itu, sajian makanan berasaskan Beronok ini hanya boleh dinikmati di Langkawi sahaja dan sesuai dimakan secara mentah ataupun dibuat kerabu bersama dengan mempelam muda, pucuk gajus, ulam-ulaman, betik muda serta bahan-bahan lain. Tekstur Beronok sedikit berbeza di antara beronok muda dan tua. Beronok yang muda agak rangup, masin, lembut dan sedikit kenyal apabila dikunyah manakala beronok tua pula sedikit keras dan agak liat untuk dimakan. Warna juga dikatakan berbeza dimana beronok muda berwarna kelabu manakala beronok tua berwarna coklat keperangan. Selalunya, para melayan akan melepaskan kembali beronok tua ke dalam kelaut dan hanya menangkap beronok muda untuk dijual atau dibuat masakan.
Resipi
Sup Gamat
Bahan Bahan
- Gamat Gamat yang telah direbus
- Cooked Gamat 1 mangkuk air rebusan gamat
- 2 batang serai – diketuk
- 2 batang kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
- 1 sup bunjut
- 2 inci halia – dihiris nipis
- 3 biji bawang merah – dihiris nipis
- 3 ulas bawang putih – dihiris nipis
- 1 cekak suhun
- 2 tangkai daun sup yang dihiris
- Garam secukup rasa
Cara Memasak
- Rendamkan gamat semalaman dan buangkan isi dalam perut gamat tersebut sebelum dibersihkan dengan air.
- Rebuskan gamat sehingga lembut dan simpan air tersebut untuk dijadikan sup.
- Gamat yang sudah lembut, dihiris menjadi nipis.
- Kemudian, tumiskan hirisan halia, bawang merah dan putih, kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, sup bunjut dan serai yang telah diketuk ke dalam periuk.
- Kemudian, masukkan rebusan air gamat ke dalam tumisan tersebut dan juga suhun dan gamat yang telah dipotong nipis.
- Di dalam periuk yang berasingan, tumiskan hirisan bawang merah, bawang putih dan halia sehingga menjadi kekuningan. Tumisan ini dipanggil tumis darat.
- Kemudian, campurkan tumisan darat tersebut ke dalam periuk yang berisi sup dan masukkan juga hirisan daun sup ke dalam periuk.
- Perasakan sup dengan garam dan ia sedia untuk dimakan.
Resipi
Kerabu Beronok
Bahan Bahan
- 1 mangkuk beronok – dipotong nipis
- 1 ikat daun gajus -dihiris halus
- 1 ikat daun cemumar – dihiris halus
- 1 ikat daun selom -dihiris halus
- 1 biji mangga muda (yang masam) – diracik halus
- 4 biji bawang merah – dimayang halus
- 1 biji bawang besar – dimayang halus
- 3 sudu besar kerisik
- 2 batang serai – dihiris halus
- 1 inci halia – dihiris halus
- 3 sudu cili kering – dikisar halus
- 2 biji cili merah
- 6 biji cili api - ditumbuk
- 1 sudu kecil serbuk lada hitam
- ½ cawan air limau nipis
- ½ cawan kelapa parut - disangai
- 2 sudu besar beras yang disangai – dikisar halus
- Garam secukup rasa
- 1 inci belacan -dibakar dan ditumbuk lumat
- Gula secukup rasa
Cara Memasak
- Sediakan bahan-bahan yang perlu dipotong, dihiris, dimayang dan dikisar selain beronok. Asingkan bahan-bahan tersebut.
- Cuci dan bersihkan dahulu beronok sebelum dibelah tengahnya. Buangkan segala lumpur didalam badan beronok tersebut.
- Cuci sekali lagi beronok yang telah dibersihkan dengan air limau nipis. Pastikan tiada lagi lumpur yang melekat.
- Potong beronok nipis-nipis supaya ianya mudah untuk dimakan.
- Campurkan ke semua bahan-bahan yang telah dipotong, diracik, dihiris dan dikisar tadi ke dalam satu bekas. Gaulkan bahan-bahan tersebut sehingga sebati.
- Kemudian, masukkan pula beronok yang telah dipotong tadi ke dalam mangkuk tersebut dan gaul sehingga kesemua bahan menjadi sebati.
- Perasakan dengan garam, perahan air limau nipis dan gula agar rasa masin, manis dan masam dapat dirasakan cukup. Kerabu beronok sedia untuk dihidangkan.
- Pastikan kerabu dimakan dalam masa 4 jam selepas disediakan. Jika tidak dimakan, masukkan ke dalam peti sejuk agar kerabu dapat disimpan dengan lebih lama.