Skip to main content

Padang Terap

Padang Terap terletak bersempadanan dengan negara Thailand di bahagian utara negeri Kedah. Mengikut Sejarah, pada tahun 1821 masihi, negeri Kedah telah dijajah oleh tentera Sukhothai dari Kerajaan Siam. Semasa penyerangan balas tentera Kedah ke atas tentera Sukhothai di bawah pimpinan Panglima Bukit Gantang, iaitu Raja Alang Alauddin, kawasan ini dijadikan sebagai tempat bagi tentera kedah untuk berkumpul. Istilah lain pada masa itu ialah memerap tentera iaitu "padang terap". Selain itu, pada pertengahan tahun 1900an, nama Padang Terap dikaitkan pula dengan sejenis pokok terap (Artocarpus elasticus) yang banyak terdapat di tepi-tepi padang. Oleh disebabkan itu, nama Padang Terap dikatakan berasal dari nama pokok ini.

Makanan Warisan

  • Kerabu Daging Mentah 

  • Gajah Berendam

Kerabu Daging Mentah

Kerabu daging mentah ialah sejenis hidangan istimewa yang dikatakan mempunyai pengaruh dari Kerajaan Siam atau Thailand. Ianya adalah makanan dari dapur Istana Kesultanan Raja Siam yang dibawa ke Padang Terap dan sekitar daerah di negeri Kedah yang bersempadan dengan Thailand. Menu ini selalu disajikan ketika musim kenduri kendara pada zaman dahulu. Daging yang digunakan ialah daging yang berkualiti tinggi seperti bahagian Batang Pinang ataupun Harimau Menangis dimana daging ini tidak mempunyai urat serta teksturnya yang lebih lembut dan enak. Daging yang digunakan didalam sajian ini hanya dibersihkan terlebih dahulu sahaja dan dicincang secara halus. Ianya tidak perlu untuk dimasak tetapi diperap bersama dengan perahan limau nipis agar ianya masak secara semulajadi melalui asid limau tersebut. Kemudian ia akan dicampur bersama dengan bahan-bahan yang lain seperti gula, cili, limau dan beras goreng yang telah dikisar halus seperti yang selalu digunakan di dalam proses pemeraman selain dari ramuan lain untuk dijadikan kerabu. Daging kerabu mentah ini sangat enak untuk dinikmati kerana rasanya yang pedas serta mempunyai kombinasi masam, masin dan manis daging.

Gajah Berendam

Selain dari Kerabu Daging Mentah, sajian lain yang didatangkan dari Kesultanan Raja Siam ialah masakan Gajah Berendam atau lebih juga dikenali sebagai Gajah Berguling atau bergolek. Makanan ini dipercayai makanan raja-raja dari Yala, Thailand. Gajah berendam, merupakan masakan yang seakan-akan kerabu tetapi ianya disumbat ke dalam jantung pisang yang telah dihiris secara memanjang di beberapa bahagian. Kemudian, hirisan serai, bawang merah, cili padi dicampur ke dalam adunan, diikuti oleh rempah seperti ketumbar yang disangai dan kemudian ditumbuk bersama dengan gula dan garam. Campuran ini kemudian disumbat ke beberapa bahagian jantung pisang yang telah dihiris memanjang itu dan dimasak bersama dengan santan di atas dapur selama lebih kurang satu jam. Jantung pisang yang digunakan adalah dari jenis pisang berangan, pisang montel ataupun pisang awak. Masakan ini dinamakan sebagai gajah berendam adalah kerana jantung pisang akan digolek-golekkan di dalam periuk yang berisi santan agar bahagian yang disumbat ke dalam jantung pisang itu masak dengan sekata. Masakan ini dikatakan semakin sukar untuk ditemui, dan hanya mereka yang berasal dari keturunan Raja Yala dan masih tinggal di daerah Padang Terap ini sahaja yang mahir memasak menu hidangan ini.

Resipi

Kerabu Daging Mentah

Bahan Bahan

  • 350 gm daging batang pinang – dihiris nipis dan dicincang halus
  • 100 gm kerisik
  • 1 cawan santan pekat
  • ½ cawan air limau nipis
  • 10 biji bawang merah – dimayang halus
  • 10 biji cili api – dikisar
  • 2 inci lengkuas – dikisar
  • 2 inci halia – dikisar
  • 3 batang serai – dikisar halus

Cara Memasak

  1. Basuh daging sehingga menjadi putih dan toskan airnya.
  2. Kemudian, gaulkan daging yang ditoskan tadi bersama dengan perahan air limau nipis.
  3. Masukkan kesemua bahan-bahan yang telah dikisar ke dalam bekas berisi daging tadi dan gaul kesemua bahan sehingga menjadi sebati.
  4. Kemudian, masukkan pula kerisik, santan dan hirisan bawang merah ke dalam bekas tersebut.
  5. Gaul kesemua bahan tadi sehingga menjadi rata dan sebati.
  6. Akhir sekali, perasakan dengan garam dan gula secukupnya dan perap bahan-bahan tersebut selama 20 minit.
  7. Kerabu daging mentah siap untuk dihidangkan.

Resipi

Gajah Berendam

Bahan Bahan

  • 1 biji jantung pisang awak
  • 5 sudu makan kerisik
  • 10 biji bawang merah kecil – separuh dihiris halus dan separuh dikisar
  • 10 biji cili merah dikisar
  • 20 biji cili padi – dihiris halus
  • 10 batang serai – separuh dihiris halus dan separuh dikisar
  • 1 cawan santan pekat
  • Sedikit air
  • Garam dan gula secukupnya

Cara Memasak

  1. Rebus jantung pisang sehingga empuk dan belah secara memanjang di bahagian depan dan belakang jantung pisang tersebut.
  2. Tinggalkan sedikit bahagian tangkai jantung pisang sebanyak 1 inci.
  3. Kemudian, gaul bahan-bahan seperti hirisan bawang merah, serai, kerisik dan cili padi sehingga sekata.
  4. Sumbatkan bahan-bahan tersebut ke dalam jantung pisang yang sudah dibelah tadi.
  5. Kemudian, masukkan santan, air, serta bahan-bahan yang telah dikisar tadi bersama dengan jantung pisang yang telah disumbat ke dalam periuk tersebut.
  6. Akhir sekali, perasakan dengan garam dan gula secukupnya dan biarkan sehingga ianya masak sebelum sedia untuk dihidangkan.