Kerabu umbut bayas adalah sejenis masakan yang diperbuat daripada umbut pokok bayas yang banyak terdapat di kawasan berbukit dan hutan tebal di pedalaman daerah Sik. Umbut di bahagian dalam batang atau umbut mayang pokok bayas merupakan sejenis bahan lembut dan sedap untuk dimakan terutama sekali jika dibuat kerabu. Pokok Bayas adalah pokok yang seakan-akan sama seperti pokok nibong dan pokok pinang yang mempunyai batang yang tinggi, keras serta berduri. Hanya mereka yang mahir sahaja dapat menebang pokok bayas ini di dalam hutan dengan cara dan teknik yang betul. Pokok Bayas yang sudah ditebang akan dibuang kulit luarnya yang keras dahulu dan proses untuk mendapatkan umbutnya perlulah dilakukan dengan menggunakan peralatan seperti beliung atau kapak. Kerabu umbut bayas ini amat terkenal di kawasan kampung dan hidangan ini disajikan sewaktu majlis perkahwinan serta kenduri kendara. Umbut bayas juga boleh dibuat masak lemak atau enak dimakan mentah sebagai kerabu. Umbut bayas yang sudah ditebang perlu segera disiang dan dipotong agar dapat mengelakkan dari dimasuk angin serta ianya boleh menghilangkan rasa sebenar keenakannya. Namu begitu, mereka yang mengidap penyakit urat atau penyakit urat saraf tidak digalakkan untuk menikmati hidangan ini kerana ianya akan memudaratkan lagi.
Sik
Sik merupakan daerah yang paling luas di dalam Negeri Kedah. Sik sebenarnya berasal dari perkataan Arab, iaitu “Syed”, yang merupakan mubaligh-mubaligh Arab yang datang berhijrah serta membuka penempatan baru di daerah ini. Pada mulanya, mereka hanya singgah untuk berhenti berehat dengan perahu di Lubuk Tok Keramat, Sg Chepir. Selepas dari itu, mereka telah mendirikan tapak-tapak perkhemahan di sebuah padang yang dikenali sebagai Padang Tok Sheikh. Tapak ini kemudiannya telah berkembang menjadi sebuah pusat penempatan di mana penduduk tempatan di daerah Sik telah berminat untuk mendalami ilmu agama Islam bersama dengan mubaligh Arab ini. Disebabkan itu juga, daerah ini telah menjadi terkenal dan dikatakan menjadi penempatan pertama sekolah pondok selain daripada daerah Baling di Negeri Kedah Darul Aman.
Makanan Warisan
-
Kerabu Umbut Bayas
-
Gulai Batang Pisang (Gulai Rias Pisang)
Kerabu Umbut Bayas
Gulai Batang Pisang (Gulai Rias Pisang)
Gulai batang pisang merupakan menu wajib yang disediakan di majlis kenduri kahwin di sekitar daerah Sik, Baling dan juga Padang Terap, terutamanya di kawasan kampung. Batang pisang yang digunakan di dalam masakan ini adalah bahagian yang mempunyai rias, umbut atau empulur batang pisang yang terletak di bahagian tengah dan berwarna putih. Batang Pisang yang selalu digunakan adalah batang pisang hutan yang lebih beraroma serta pisang abu yang rasanya lebih lemak manis. Ada juga yang menggunakan pisang emas, pisang batu atau pisang raja (jarang digunakan). Manakala, pisang yang tidak sesuai untuk digunakan ialah pisang kaki, pisang nangka dan pisang udang. Gulai ini lebih sedap jika dimasak menggunakan daging lembu, kerbau, kambing dan sebagainya. Batang Pisang dikatakan mempunyai khasiat yang tertentu seperti ianya baik untuk membantu sistem penghadaman selain dapat menyingkirkan asid urik di dalam perut yang boleh menyebabkan penyakit gout.
Resipi
Kerabu Umbut Bayas
Bahan Bahan
- 2 mangkuk umbut bayas (ambil bahagian yang lembut sahaja)
- Bawang merah – dimayang halus
- Serbuk lada hitam - 1 sudu kecil
- Udang kering dikisar halus - 1 cawan
- Halia 1 inci dikisar halus
- Lengkuas 1 inci dikisar halus
- Santan Pekat - 1 cawan
- Kerisik - 1 cawan
- Beras goreng – disangai dan dikisar halus - 1 cawan
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
Cara Memasak
- Umbut hendaklah dicelur dengan air panas dan kemudian ditoskan sehingga kering.
- Masukkan bawang yang telah dimayang halus dan bahan-bahan yang telah dikisar ke dalam sebuah bekas.
- Tambahkan kerisik, santan pekat, beras goreng yang dikisar dan bahan perasa dengan secukupnya.
- Gaul kesemua bahan tadi dengan rata.
- Kemudian, masukkan umbut ke dalam bahan-bahan tadi dan gaul sehingga sebati.
- Gaul sekali lagi sehingga sekata dan kerabu umbut bayas sedia untuk dihidangkan bersama dengan nasi panas.
Resipi
Gulai Batang Pisang (Gulai Rias Pisang)
Bahan Bahan
- Umbut batang pisang 1 pokok
- Daging 1 kg
- 1 cawan serbuk kari daging
- Kerisik - 1 cawan
- Daun kari - 2 tangkai
- Santan Pekat - 2 cawan
- 1 cawan air putih
- Garam secukup rasa
- ½ cawan – minyak masak
- Kulit kayu manis - 2 batang
- Kulit kayu manis - 2 batang
- Bunga lawang - 2 batang
- Bawang merah – 5 biji dimayang halus
- Bawang putih - 3 ulas
- Halia - 1 inci dimayang halus
- Lengkuas 1 inci dikisar halus
- Serai - 2 batang dikisar halus
- Halia 1 inci dikisar halus
- Bawang merah – 5 biji dikisar halus
- Bawang putih - 3 ulas dikisar halus
Cara Memasak
- Tumiskan bahan-bahan yang dimayang halus dan juga kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih ke dalam kawah. Tumiskan juga daun kari.
- Bancuhkan serbuk kari bersama dengan bahan-bahan yang dikisar dan kerisik dengan air yang secukupnya.
- Apabila bahan tumisan sudah naik bau, masukkan campuran serbuk kari tadi. Tumis sehingga pecah minyak.
- Kacau sehingga gulai naik bau dan masukkan daging ke dalam kawah.
- Apabila daging sudah kecut dan air daging nampak sedikit kering, masukkan umbut batang pisang dan gaul sehingga sebati.
- Kemudian, masukkan santan, air asam jawa dan garam ke dalam kawah tadi.
- Masak sehingga batang pisang menjadi empuk dan gulai sedia untuk dihidangkan.