Skip to main content

Yan

Mengikut sejarah, sebutan Yan diambil daripada penghujung perkataan ”Sendayan” iaitu sejenis tumbuhan yang banyak terdapat di daerah ini pada suatu ketika dahulu. Tetapi ada juga yang menyanggah pendapat itu dengan mengatakan bahawa sebutan Yan adalah singkatan dari perkataan buah ”Durian“. Di daerah ini, terkenal dengan beberapa perkampungan penduduk berketurunan Acheh sehingga terdapat sebuah kampung yang dikenali dengan nama ”Kampung Acheh”. Selain dari itu, daerah Yan juga adalah salah sebuah daerah yang unik dan sangat cantik di dalam Negeri Kedah di mana keindahan alam semulajadinya menjadi tumpuan dan perhatian ramai. Di daerah ini juga, terdapat Banjaran Gunung Jerai yang menghijau dan ianya menganjur sehingga ke kawasan laut membiru di Tanjung Jaga dan juga Selat Melaka. Oleh disebabkan itu, ianya telah menjadikan Yan sebagai salah sebuah daerah yang sangat cantik dengan panoramanya yang tersendiri.

Makanan Warisan

  • Kuih Jeronkong

  • Kuih Gedung Chak 

Kuih Jeronkong

Kuih Jeronkong adalah sejenis kuih tradisional Kedah. Ianya juga dikenali dengan nama kuih Jonkong yang agak popular di negeri Perak, Johor dan Selangor. Kuih Jeronkong perlu dikukus menggunakan daun pisang. Kuih ini juga mempunyai rasa yang agak unik dan lazat. Mengikut Sejarah, kuih Jeronkong dipercayai dibawa oleh masyarakat Acheh yang berhijrah dan menetap di negeri Kedah terutama sekali di daerah Yan. Kuih ini juga memiliki nama lain seperti Jongkong, Bongkong, dan Bongkor. Jika di Betawi, Indonesia, kuih jongkong ini bermaksud lancip oleh kerana bentuknya seperti terompah ataupun perahu. Manakala di Kepulauan Riau pula, Jongkong bermaksud sampan ataupun perahu kecil. Jadi kuih ini dinamakan jongkong oleh kerana keunikannya itu. Tetapi jika di Betawi, Indonesia, kuih ini mestilah diperbuat daripada bahan daun pandan besar berduri dan dilipat menyerupai jongkong ataupun sampan. Sebagai contoh, di Selangor, kuih ini amat terkenal pada tahun 1960-an kerana diperkenalkan oleh orang Mandailing dan Minangkabau yang berhijrah ke negeri itu dan disajikan kepada masyarakat setempat melalui majlis keraian dan kenduri kendara. Oleh itu, kuih jeronkong ini bukan sahaja popular di negeri Kedah tetapi ia juga terkenal di negeri lain dek kerana kesedapan dan kelazatan rasa kuih itu sendiri.

Kuih Gedung Chak

Gedung Chak merupakan sejenis lagi kuih yang berasal dari penduduk Acheh yang datang berhijrah ke negeri Kedah. Penduduk ini kebanyakkannya menetap di kawasan Yan dan diperkenalkan kepada penduduk tempatan melalui majlis keramaian tertentu. Mereka membawa bersama tradisi masakan dan makanan mereka dan secara tidak lengsung menjadikan kuih gedung chak ini sebagai kuih tradisional negeri Kedah. Namun, kuih ini semakin sukar untuk ditemui pada masa kini dan hanya terdapat di tempat-tempat tertentu seperti Yan, Kota Kuala Muda dan Tanjung Dawai. Kuih ini agak unik kerana ianya seakan-akan kuih pulut panggang tetapi menggunakan daun nipah muda sebagai pembungkusan. Daun nipah muda ini menghasilkan bau yang sangat wangi apabila ianya dibakar menggunakan dapur arang. Untuk rasa yang lebih sedap, air kelapa muda lebih sesuai untuk digunakan dan juga gula merah bagi mendapatkan warna dan tekstur yang lebih menarik.

Resipi

Kuih Jeronkong

Bahan Bahan

Adunan Pandan

  • Tepung beras - 1 cawan
  • Tepung ubi - 5 sudu kecil
  • Air daun pandan dikisar - 4 cawan
  • Santan Pekat - 1 cawan
  • Garam secukup rasa
  • Air kapur - 2 sudu kecil
  • Sedikit pewarna hijau

Adunan Santan

  • Tepung beras - 1 cawan
  • Tepung ubi - 1 cawan
  • Santan Pekat - 5 cawan
  • Garam secukup rasa
  • Gula merah - 1/2 cawan

Adunan Air Gula 

  • Gula merah - 1 cawan
  • Daun pandan - 2 tangkai
  • 1 cawan air putih

Bahan-bahan lain 

  • Daun pisang – yang sudah dibersihkan dan dilayurkan di atas api
  • Pencungkil gigi

Cara Memasak

  1. Adunan Pandan – satukan bahan-bahan seperti tepung, santan, air daun pandan, air kapur, pewarna hijau serta sedikit garam dan masak di atas api yang sederhana.
  2. Tambahkan sedikit air jika adunan masih keras dan pastikan adunan tidak terlalu lembut.
  3. Adunan Santan satukan bahan-bahan seperti tepung, santan, air kapur, serta sedikit garam dan masak di atas api yang sederhana.
  4. Tambahkan sedikit air jika adunan masih keras dan pastikan adunan tidak terlalu lembut.
  5. Kemudian ambil daun pisang yang telah dilayurkan dan sudukan adunan pandan diikuti oleh adunan santan yang telah dimasak ke dalam daun pisang tersebut.
  6. Kemudian, letakkan gula merah di atas kedua-dua adunan tersebut.
  7. Kemudian bungkus dan lipat daun pisang tersebut menjadi bentuk sampan dan cucuk di bahagian atas daun pisang tersebut dengan pencungkil gigi.
  8. Sementara itu, pastikan air di dalam pengukus sudah mendidih dan susunkan bungkusan kuih jeronkong ke dalam pengukus.
  9. Kukus kuih tersebut selama 25 hingga ke 30 minit.
  10. Hidangkan kuih tersebut apabila ia sudah masak dan sejuk. Kuih ini boleh juga dimakan bersama dengan air gula merah jika ianya tidak cukup manis.

Resipi

Kuih Gedung Chak

Bahan Bahan

  • Tepung pulut - 1 cawan
  • Kelapa parut putih - 2 cawan
  • Gula merah - 1 cawan
  • 1 cawan air putih
  • Air kelapa muda - 1 cawan
  • Daun nipah – dilap dan dibersihkan serta dipotong sepanjang 15cm
  • Lidi daun nipah – disiat dan diruncingkan di bahagian hujungnya

Cara Memasak

  1. Masak gula merah bersama dengan air sehingga menjadi cair.
  2. Gaulkan tepung pulut bersama dengan kelapa parut dan juga air kelapa muda.
  3. Kemudian campurkan gula merah yang telah dicairkan tadi ke dalam adunan tepung pulut tersebut.
  4. Sendukkan adunan tepung pulut ke atas daun nipah yang telah dipotong dan dibersihkan.
  5. Lipat dan tutup daun nipah tersebut dengan lidi daun nipah yang telah disiat dan diruncingkan pada bahagian hujungnya itu.
  6. Kemudian, bakar kuih yang telah siap dilipat di atas dapur arang dengan api yang sederhana dan balik-balikkan ke dua-dua belah kuih tersbut sehingga ianya masak.
  7. Kuih ini amat enak dan lazat jika dihidangkan ketika minum petang bersama-sama dengan kopi ataupun teh panas.