Ketupat daun buluh sesuai sekali untuk dimakan bersama dengan gulai pucuk johar ataupun nama lainnya adalah pucuk juaq. Makanan ini dikatakan sajian yang amat istimewa pada musim perayaan terutama sekali sewaktu hari Raya. Pucuk ini banyak terdapat di kawasan-kawasan kampung di daerah Pendang dan juga di dalam kawasan yang bersempadan dengan Thailand. Namun, pucuk juaq ini semakin sukar untuk ditemui kerana pucuk ini tidak banyak ditanam. Pucuk ini juga amat terkenal di kalangan masyarakat Siam dan mereka menanam pucuk ini di sepanjang batas-batas sawah padi mereka di daerah Pendang. Menurut penduduk tempatan, masyarakat Siam amat menggemari masakan pucuk juaq yang dicampur bersama dengan isi ikan ataupun ayam untuk dimakan bersama dengan nasi putih. Pucuk Juaq ini perlu direbus sebanyak 3 sehingga ke 5 kali kerana rasanya yang pahit. Namun begitu, ia tidak digalakkan untuk direbus lebih daripada 5 kali kerana bimbang akan hilang segala jenis khasiat yang ada di sebalik pucuk ini. Selepas direbus, pucuk ini hendaklah diperah dan ditoskan airnya serta ditukar dengan air baru sebelum direbus semula. Ada pendapat yang menyatakan bahawa pucuk ini boleh digunakan di dalam rawatan demam malaria dan banyak dimakan oleh penduduk negara India dan Sri Lanka sebagai lauk sayuran.
Pendang
Pendang merupakan salah satu daerah yang dahulunya menjadi tempat tinggal gajah-gajah di Negeri Kedah. Perkataan "Pendang" adalah istilah yang dipanggil oleh penduduk tempatan terdahulu yang bermaksud lubang ataupun telaga. Lubang atau telaga ini dibuat oleh penduduk pada masa itu, untuk menangkap atau menjerat gajah. Gajah-gajah ini telah dijadikan sebagai kenderaan rasmi yang digunakan oleh Kerajaan Negeri Kedah sebagai kenderaan utama untuk menghantar úfti’ atau Bunga Emas ke Negara Siam. Disebabkan itu, penduduk di daerah ini terdiri daripada campuran kaum Melayu, Siam, Cina dan India. Selain itu, di daerah Pendang juga terdapat kubur panjang yang merupakan salah satu peninggalan sejarah. Mengikut Sejarah, ukuran panjang kubur ini akan bertambah dari sehari ke sehari dan oleh disebabkan itu, ia dijadikan sebagai salah satu kawasan tinggalan sejarah yang terdapat di daerah ini.
Makanan Warisan
-
Gulai Pucuk Juaq
-
Ketupat Daun Buluh
Gulai Pucuk Juaq
Ketupat Daun Buluh
Ketupat daun buluh merupakan salah satu hidangan istimewa bagi penduduk di daerah Pendang. Ketupat ini dipercayai dibawa masuk ke negeri Kedah oleh tentera Siam dan juga pedagang dari Cina pada zaman dahulu sebagai bekalan makanan mereka. Ketupat ini juga dikenali dengan nama ketupat gajah, kuih chang ataupun ketupat cina. Ketupat ini mampu bertahan dari 3 sehingga ke 7 hari selepas pembuatannya. Pembuatan ketupat ini agak menarik kerana ia menggunakan daun buluh dan cara pembungkusan ketupat ini juga lain dari ketupat-ketupat yang ada di Malaysia. Daun buluh yang digunakan pula mestilah dari jenis yang lebar, licin dan tidak berbulu untuk tidak menyebabkan gatal.
Beras pulut pula akan direndam dan digaulkan dengan air abu. Ianya akan bertukar warna menjadi sedikit kekuningan apabila dimasak dan rasanya sangat istimewa. Menurut cerita penduduk di daerah Pendang, ketupat ini dinamakan sebagai ketupat gajah kerana nama Pendang itu sendiri berasal dari nama ‘Pendiat”yang bermakna parit atau lubang yang digali khas untuk menangkap dan menjinakkan gajah. Gajah-gajah yang telah dijinakkan akan dimandikan di telaga yang terletak berhampirang dengan Balai Polis Daerah Pendang. Menurut sejarah, telaga ini adalah telaga asal dan tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau yang panjang. Oleh disebabkan itu, ketupat ini diberikan nama sebagai ketupat gajah sebagai sesuatu yang simbolik dan sinonim dengan gajah.
Resipi
Gulai Pucuk Juaq
Bahan Bahan
- 1 ikat pucuk juaq – direbus dan dikeringkan
- 3 ekor ikan kembung – direbus dan diambil isinya sahaja – 3 pieces (boiled and pounded)
- Santan Pekat - 2 cawan
- 1 peket rempah kari
- Bawang merah – 5 biji dikisar halus
- Bawang putih – dikisar halus
- 6 biji cili api – dikisar halus
- 3 biji – dikisar halus
- ½ cawan – minyak masak
- 2 tangkai - 2 tangkai
- Garam secukup rasa
- Serbuk perasa
Cara Memasak
- Rebus pucuk juaq sehingga mendidih. Buangkan airnya dan gantikan dengan air yang baru. Rebus pucuk juaq sebanyak 3 kali. Kemudian, basuh dan perah pucuk juaq tersebut sehingga betul-betul kering.
- Kisar bahan-bahan seperti bawang merah, bawang putih, cili api dan cili merah sehingga halus. Gaulkan rempah kari ke dalam bahan-bahan telah siap dikisar.
- Kemudian, panaskan minyak di dalam periuk dan tumiskan bahan-bahan yang dikisar tadi.
- Masukkan pula daun kari ke dalam tumisan tersebut dan tumis sehingga naik bau dan pecah minyak.
- Masukkan santan ke dalam tumisan bersama dengan isi ikan kembung yang telah direbus. Kemudian, perasakan dengan garam dan juga serbuk perasa.
- Sentiasa kacau dan jangan biarkan kuah gulai menjadi pecah minyak. Kemudian, masak sehingga gulai mendidih.
- Gulai pucuk juaq sedia untuk dimakan bersama dengan ketupat daun buluh.
Resipi
Ketupat Daun Buluh
Bahan Bahan
- Air abu – beberapa titik
- 1 kg beras pulut susuDaun buluh (jenis besar)
- Tali rafia yang halus
- Pijat 1 atau 2 sudu besar serbuk pijat
Cara Memasak
- Beras pulut susu dibasuh terlebih dahulu dan ditoskan.
- Kemudian, titikkan air abu ke atas beras pulut yang sudah disejat. Air abu digunakan untuk memberi sedikit warna kepada beras pulut tersebut dan membuatkan teksturnya menjadi lebih kenyal dan liat apabila sudah dimasak.
- Kemudian, daun buluh dilap bersih dan dikeringkan. Sebaiknya direbus dahulu dan dicuci beberapa kali untuk menghilangkan gatal dan miang daun tersebut.
- Selepas itu, sendukkan beras pulut ke dalam daun buluh dan balut dengan kemas sebelum diikat menggunakan tali rafia yang sudah dicarik halus.
- Panaskan air di dalam periuk dan rebuskan ketupat yang sudah dibalut tadi apabila air sudah mendidih. Masukkan juga satu atau dua sudu serbuk pijat ke dalam air yang mendidih tadi. Pastikan paras air melebihi paras ketupat di dalam periuk semasa direbus.
- Pastikan juga untuk sentiasa menambah air di dalam periuk setiap kali air rebusan kurang dari paras ketupat.
- Kemudian, rebus ketupat sehingga masak dan selalunya ia akan mengambil masa sehingga ke 4 jam.
- Akhir sekali, sejukkan ketupat apabila ia sudah empuk dengan menggantungkan ketupat itu di tempat yang kering.
- Ketupat sedia untuk dimakan. Ketupat ini boleh dimakan bersama dengan gulai pucuk juaq, serunding, susu pekat atau air gula merah yang telah dicairkan mengikut kesukaan masing-masing.