Skip to main content

Pokok Sena

Daerah Pokok Sena diambil bersempena dengan nama sejenis tumbuhan iaitu pokok sena yang juga dikenali sebagai angsana (Pterocarpus indicus). Pokok ini banyak ditemui dan tumbuh di tepi-tepi sungai. Pada zaman prasejarah, daerah ini didiami oleh masyarakat pribumi seperti Orang Asli dan suku kaum Melayu. Namun begitu, semasa abad ke-6 hingga ke-15, Pokok Sena menjadi salah satu wilayah yang diperintah oleh Kerajaan Kedah Tua. Kerajaan ini merupakan sebuah kerajaan Melayu yang sangat kuat pada masa itu. Pokok Sena pada sebelum ini terletak di dalam daerah Kota Setar. Namun, disebabkan oleh kepadatan penduduk di daerah itu, Sultan Kedah telah mengisytiharkan Pokok Sena untuk menjadi sebagai sebuah daerah baru pada tahun 2009.

Makanan Warisan

  • Masak Lemak Putih Kulat Sisiaq

  • Kerabu Beka 

Masak Lemak Putih Kulat Sisiaq

Kulat sisir ialah sejenis cendawan yang tumbuh meliar di batang pokok getah yang rebah semasa musim hujan ataupun apabila pokok getah itu ditebang untuk digantikan dengan pokok getah yang baharu. Kulat Sisir ini juga dipanggil dengan nama Kulat Sisiaq di negeri Kedah dan ianya tumbuh di kawasan kampung yang mempunyai banyak pokok getah. Kulat ini akan tumbuh dengan lebih banyak selepas waktu hujan. Kulat yang telah dikutip perlulah direndam terlebih dahulu untuk dibuang segala sisa-sisa kotoran seperti kulit pokok getah yang melekat dibahagian hujung kulat. Selalunya bahagian hujung ini akan dipotong dan dibersihkan kerana sisa kotoran ini agak susah untuk dikeluarkan. Kulat Sisiaq ini juga amat sesuai untuk digoreng dan dibuat masak lemak cili api. Kulat ini agak susah untuk ditemui pada masa kini. Ianya hanya boleh ditemui di sesetengah pasar di daerah tertentu sahaja di negeri Kedah. Namun, masyarakat diminta untuk lebih berhati-hati jika membeli kulat ini dipasar kerana dikuatiri terbeli kulat yang terdedah pada racun rumpai semasa proses meracun pokok getah. Ianya bertukar menjadi racun dan amat berbahaya jika dimakan.

Kerabu Beka

Kerabu buah beka sangat terkenal di daerah Pokok Sena terutama sekali di kampung-kampung dan kawasan pedalaman. Pokok beka ini agak tinggi untuk dipanjat dan ianya amat jarang sekali ditanam. Kebanyakkan pokok beka akan tumbuh meliar di belukar di sekitar kawasan kampung ataupun berhampiran dengan kawasan rumah, sungai dan tali air. Pokok beka ini akan mengeluarkan buah yang panjang dan nipis seperti papan. Ia amat sesuai untuk dijadikan sebagai ulam ataupun dibuat kerabu. Ianya bagus untuk dimakan bagi wanita selepas bersalin. Namun, hanya buah beka yang muda sahaja akan diambil untuk dijadikan ulam atau dibakar untuk dijadikan kerabu kerana ianya mudah patah. Buah beka yang tua pula agak keras dan berserat, dan sedikit liat untuk dipatahkan. Oleh sebab itu, ia tidak sesuai untuk dimakan. Teknik memasak buah beka ini adalah dengan cara dibakar di atas api ataupun direbus sebelum dipotong secara nipis. Buah beka yang menggunakan teknik bakar akan mengelembung kulit di bahagian luarnya dan buahnya akan bertukar warna menjadi sedikit kekuningan. Kemudian ianya akan dibasuh terlebih dahulu sebelum dipotong nipis seperti potongan perut lembu. Rasa buah beka ini juga dikatakan seolah-olah sama seperti perut lembu yang sudah direbus. Ada juga petua yang mengatakan bahawa buah beka yang sudah dihiris nipis, perlu direndam bersama dengan air garam dan diramas buahnya untuk mengeluarkan rasa pahit dari buah tersebut.

Resipi

Masak Lemak Putih Kulat Sisiaq

Bahan Bahan

  • 2 cawan kulat sisiaq
  • 5 biji bawang merah – dimayang halus
  • Bawang putih – dimayang halus
  • 3 biji cili merah
  • 6 biji cili api cili api
  • ikan bilis - 1 cawan
  • Santan Pekat - 1 cawan
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • 1 cawan air putih .

Cara Memasak

  1. Rendam sekejap kulat sisiaq di dalam air panas. Kemudian, toskan dan sejat kulat tersebut sehingga kering.
  2. Masukkan bawang merah dan bawang putih yang dimayang halus ke dalam periuk bersama dengan ikan bilis dan 1 cawan air. Masak sehingga mendidih.
  3. Kemudian, masukkan pula kulat ke dalam periuk diikuti dengan santan, cili merah, cili api. Letakkan garam dan gula secukup rasa.
  4. Masak sehingga kuah kulat tadi mendidih dan sentiasa dikacau agar santan tidak pecah minyak dan kemudian padamkan api.
  5. Masak lemak putih kulat sisiaq sedia untuk dihidangkan.

Resipi

Kerabu Beka

Bahan Bahan

  • Beka 2 keping buah beka – dibakar sehingga lembut
  • 5 biji bawang merah – 5 biji dimayang halus
  • Halia – dikisar halus
  • 3 batang serai – dikisar halus
  • Udang kering dikisar halus - 1 cawan
  • 6 biji cili api – dikisar halus
  • Santan Pekat - 2 cawan
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk perasa
  • Kerisik - 1 cawan
  • 3 biji limau nipis

Cara Memasak

  1. Buah beka dipotong nipis-nipis dan dimasukkan ke dalam satu bekas besar.
  2. Kemudian, masukkan hirisan bawang merah yang dimayang halus bersama dengan bahan-bahan yang sudah dikisar ke dalam bekas tersebut.
  3. Masukkan santan pekat, kerisik dan perasakan dengan garam secukupnya.
  4. Kemudian, perahkan air limau nipis ke dalam bahan-bahan tersebut dan boleh ditambah garam dan gula jika tidak cukup rasa manis, masin dan masamnya.
  5. Selepas cukup semua rasa, boleh lah dihidangkan kerabu beka bersama dengan nasi panas.